SELAMAT DATANG

Ahlan Wasahlan

TULISAN

Tulisan itu rakaman pengalaman

ILMU

Ilmu adalah senjata dan sahabat

SEMPURNA

Apabila menuju sempurna akal, kuranglah percakapan

About

Monday, December 26, 2011

Preview : Bengkel Penulisan Puisi

25 Disember 2011

Kelab Penulisan Irbid buat telah berjaya melangsungkan bengkel penulisan puisi. Doktor Ainul Arina Mardiah Mohamad Noor telah dijemput untuk menyampaikan ceramahnya. Terima kasih diucapkan kepada beliau.

Profile Penceramah.



Berikut merupakan isi-isi penting sepanjang bengkel dijalankan.

1. Falsafah dan Pemikiran Puisi

Puisi mampu menjentik rasa keindahan yang tersimpan dalam hati setiap insan. Oleh sebab itu, puisi sering menjadi satu agen penyebar idea dan agenda.

Puisi juga telah lama digunakan sebagai satu bahan dakwah yang berkesan, juga sebagai inspirasi membakar semangat perjuangan sejak berkurun lagi. Disamping, puisi menjadi bukti rasa kecintaan kepada sesuatu yang akhirnya membawa kembali kepada cintakan Ilahi.

2. Maksud Puisi/Sajak

i." Sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya" (Muhammad Haji Salleh)

ii. " Sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua." (Baha Zain)

iii. "Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik" (Samuel Taylor Coleridge)

3. Pembinaan Puisi

a. Asas bahasa

Puisi terbahagi kepada dua jenis; denotatif dan konotatif. Denotatif ialah puisi yang jelas, terus dan tidak mempunyai maksud yang lebih mendalam, berbeza dengan konotatif yang membawa maksud yang lebih dalam dan harus diteliti dengan baik.

Puisi kaya dengan gaya bahasanya, antara yang selalu diguna-pakai untuk menghasilkan puisi yang baik ialah;

- rima
- inversi
- metafora dan simile
- anafora, epifora, repitisi
- personifikasi
- hiperbola
- unsur bunyi; asonansi dan aliterasi

b. Tema dan persoalan

Penulis puisi yang baik haruslah membawa tema dan persoalan yang berkualiti, meluas dan membina. Tema dan persoalan yang baik boleh diraih dengan pemerhatian yang teliti dan pengkajian terhadap sesuatu perkara, bahan bacaan, masyarakat, kehidupan mahupun alam.

c. Bentuk puisi

Bentuk puisi meliputi beberapa aspek utama :

i. Binaan luar - puisi yang baik haruslah ekonomis dan ambiguitis

ii. Sudut pandangan - puisi mempunyai pelbagai sudut pandangan seperti orang pertama, orang kedua, orang ketiga dan sudut pendangan serba tahu.

iii. Nada - Pelbagai nada digunakan bagi menghidupkan puisi antaranya romantis, melankolis, sinis, protes, dan patriotik.

4. Red flag. 

Perkara-perkara yang perlu dielakkan sepanjang penulisan puisi ialah :

1. Klise


Mengunakan ayat-ayat yang sudah biasa, senang dan membosankan. Ayat yang tidak asli.

'Angin yang sepoi-sepoi bahasa terasa dingin menampar-nampar pipiku' - Contoh ayat klise.

Harus diletakan lebih 'effort' untuk menghasilkan ayat yang lebih menarik. Ini contoh ayat yang saya buat, dan diterima penceramah.

'Angin mencium lembut bagai sutera menyelimut'

Cuba bayangkan angin selain daripada menjadi 'angin'. Bayangkan angin mempunyai kaki, tangan atau mulut. Maka penggunaan diksi akan lebih segar dan menarik.

'Bertiup kini angin mesra dan bersih meluhuri takhta dan panji bangsa merdeka' (Menyemai Hikmah, SN A. Samad Said)

'awan curiga yang ditiup angin sangsi dari langit utara menggugurkan hanyir darah di laman pondok' (Perawan Selatan, Shahrunizam Abd Talib)

2. Lewah

Menghasilkan ayat yang panjang dan meleret-leret. Puisi yang baik ialah yang ekonomis dan ambiguitis. Kurangkan kata imbuhan yang tidak perlu dan kata ganda yang tidak perlu.

'Aku mencari dirinya' boleh diperbaiki menjadi 'kucari dia'. 

3. Tanda baca dan tatabahasa

Penulis harus mengambil berat penggunaan tanda baca dan tatabahasa dalam penulisan puisi. Tanda baca yang salah dapat menghilangkan nada bacaan dan maksud yang ingin disampaikan.

Perhatikan perbezaan ayat-ayat di bawah :

i. Women without her man is nothing.

ii. Women without her man, is nothing.

iii. Women, without her, man is nothing.

Mitos : setiap baris perlu diakhiri dengan koma dan nokhtah hanya boleh diletakkan di hujung rangkap.

Sebenarnya di dalam penulisan puisi, koma tidak semestinya di setiap baris dan nokhtah tidak semestinya di hujung rangkap. Sebagai contoh boleh dilihat di dalam puisi Al Wahn nukilan Fahd Razy.

(Perhatikan tanda koma)
Rindu- tidak perlu kudakapi,
  pergilah bersama bahtera noda,
  kenangan silam semanis hempedu,
  bak gumpalan awan hitam
  menutup mentari cinta tenggelam.

(Perhatikan tanda nokhtah)
Yang mengapung adalah buih yang melata
raput tanpa cinta satu umat
dan tekad seribu jasad. Kini perjalanan sejarah
yang jauh meninggalkan madrasah
nabawiyah...

4. Citra bercampur.

Menggunakan imej-imej yang tidak sekufu dan memeningkan pembaca.

Hidupku adalah perahu usang di lautan
Sesekali singa dugaan menerpa
Onak dan ranjau juga menyapa
Dan aku kehausan di gurun perjalanan
Mencari setitik air yang tak
berkunjungan. 

Boleh dibaiki menjadi

Hidupku adalah perahu usang di lautan
Sesekali ombak dugaan menerpa
Ribut dan badai juga menyapa
Dan aku kehausan di samudera
pelayaran
Mencari setitik air yang tak berkunjungan.


5. Ayat Bombastik

Mengunakan kata-kata yang indah dan luarbiasa bagi 'membungakan' ayat tanpa membawa maksud yang jelas dan bernas. 

Contoh ayat : "Dalam hal ini, beliau memfasiqkan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan walakin mendapat tentangan daripada pihak pembangkang namun baginya ia katarsis."

6. Perlambangan mengarut.

Mengunakan lambang-lambang yang tidak sesuai dan tidak dapat diterima. 

Contoh : 'Senja...aku bangkit menjadi hamba yang bersemangat!'

Sebenarnya tidak ada yang dapat dilihat membawa semangat dengan kata senja. 

Contoh lain : 'Ia datang bagai harimau menggoncang' , 'Ikan-ikan berterbangan gembira sendiri'. 

7. Prosa vs Puisi

Menulis puisi haruslah diiringi dengan maksud yang dalam, tidak prosaik (straight-forwad) dan tidak personal.

Contoh 'puisi' prosaik;

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
aku terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Selalunya puisi-puisi prosaik, andai disusun semula bakal menjadi sebuah cerita yang 'plain'.

"Terbit matahari pagi tadi aku buka almari. Kemudian, aku terlihat pada baju kurung putih, putih sekali yang punya manik-manik kecil."

8. Pengulangan yang lemah

Pengulangan yang lemah di dalam puisi sebenarnya menunjukkan ketidakcintaan penulis terhadap puisinya. Menunjukkan penulis malas berfikir dan membuat puisi dengan sambil lewa.

Contoh pengulangan yang lemah :

Pagi ini aku merindui
kampungku yang cantik
kampungku yang indah
kampungku yang permai

Pengulangan yang baik pula, menguatkan lagi sebuah puisi itu. Sebagai contoh di dalam puisi 'Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu' oleh Fadh Razy;

Seketika aku menjentik maujud gunung-Mu;
   yang bergetar itulah kerdil insaniku.

Seketika aku menghembus gelojak mentari-Mu;
   yang terpadam itulah ketakburan batiniku.

Seketika aku menghambat keliaran angin-Mu;
   yang rebah itulah gelojoh peribadiku.

Seketika aku membakar pesona bulan-Mu;
   yang garing itulah ghairah duniawiku.

Seketika aku meneroka tegar belantara-Mu;
   yang terkoyak itulah nafsu manusiawiku.

(ila akhir...)

Begitulah 'red flag' yang harus dihindari para penulis puisi. 

Antara nasihat penceramah, "Puisi bukanlah kerja lima minit. Tulis dan simpan, perap dahulu, dan baiki dari masa ke masa."

Wallahualam. Semoga bermanfaat. 








Monday, December 19, 2011

Bengkel Penulisan Puisi

Assalamualaikum...

Dibawakan khas dan istimewa untuk ahli Kelab Penulisan Irbid.



Tarikh : 24 Disember 2011 (sabtu)
Masa : 12 tgh/hari - 3 petang
Tempat : PUSKOM

Sebarang pertanyaan,hubungi :
Amir Siddiq : 0779401029
Ainaa Syahirah : 0777714163





Moga bermanfaat untuk semua! (^_~)

Wednesday, December 14, 2011

Jentayu : Jangan tumbang selagi belum habis berjuang

Assalamualaikum...




Di paruhmu kemilauan sinar
Menyepuhi sejuta rasa
Kemulian di hatimu
Bening budi terdampar di jagat raya

Di sayap taufan kau jelajahi
Awan gemawan membawa rindu
Kasihmu menentangi kezaliman
Ketidakadilan

Jentayu
Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu
Patah paruh bertongkat siku
Jentayu
Patah siku bertongkat dagu
Jentayu
Patah dagu bertongkat kuku

Pinjamkanlah hatimu
Untuk semua



Diadapatasi daripada puisi Jentayu oleh Usman Awang, Johan Nawawi mengolah puisi 11 babak tersebut menjadi satu lagu yang penuh dengan maksud yang puitis dan irama yang beralun indah.

Pernah baca Hikayat Merong Mahawangsa?

Haaa~ Jentayu yang dijadikan subjek dalam kedua-dua karya tersebut digambarkan sebagai penyelamat yang sanggup mengorbankan diri nya sendiri tatkala mahu menyelamatkan seorang puteri China yang menjadi tunangan kepada seorang putera Rum dari serangan Garuda yang menculik puteri tersebut pada hari perkahwinan mereka.

Jentayu muncul membantu tatkala Merong Mahawangsa bergelut mahu menumpaskan Garuda.

Nak tahu lebih lanjut?apa kata baca ringkasannya di sini.

Tetapi idea utama yang mahu saya eksploitasi dari hikayat dan juga puisi ini adalah bagaimana gigih dan jitu nya semangat yang tetap mahu berjuang walau jatuh tersungkur sekalipun.

Dalam hidup,
kejatuhan,kegagalan,dan kekalahan
itu norma kehidupan.

Buat memujuk hati,
katakan pada diri
itu adalah untuk membersihkan kalian dari dosa-dosa jahiliyah lalu,
mungkin juga buat menambahkan al-mizan di akhirat nanti.

Namun,
biar sakit mana anda tersungkur diuji
atau dianugerahi kesakitan dugaan hidup
terus bangkit berjuang
dan katakan pada diri,
aku MAMPU!

Biar nampak kalah di mata orang,
tapi tetap menang di bawah lindung rahmat kasih sayang DIA.
Itu lebih manis,bukan?

Setinggi mana semangat kalian untuk bangkit terus berjuang
dan menghargai segalaan kurniaan dan anugerah DIA yang indah
dan penuh kasih sayang?

(^_~)



*selamat menghargai dan mensyukuri. :) *

Monday, December 5, 2011

Alhamdulillah

Alhamdulillah
oleh : Faiz Ali


Teman..

Apa kata kita ambil sedikit masa.

Melihat sesuatu yg ada pada kita, ayuh kita berhenti sejenak.

Kita sama Renung. Sama Fikir. Sama Rasai.

Mari..

Melihat Diri.. Ternampak si kudung, si tempang,si tuli,si bisu,si buta. Kecacatan.
Melihat Duit.. Ternampak tangan2 kehuluran memohon sedikit ihsan. Bantuan.
Melihat Rumah.. Ternampak Tubuh2 lemah ketiduran d tepi2 jalan. Kesejukan.
Melihat Makanan.. Ternampak Anak2 kecil, Ibu2 tua, Sang Pelarian. Kebuluran.
Melihat Kedamaian.. Ternampak manusia2 brtempiaran,tiada pengharapan. Ketakutan.
Melihat Kegembiraan.. Ternampak Kelopak2 mata kehitaman.Tersedu sedan.Tangisan.
Melihat..Melihat..Melihat. Dan terus Melihat.
Dengan sebenar-benar PENGLIHATAN..

Terlalu banyak sbnrnya bukan.. Sesuatu yg sepatutnya kelihatan..
Namun, Terkadang asyik dlm kehidupan. 'Mata' kita menjadi rabun.
Dari rabun yg biasa, bertambah sedikit..Dan terus Bertambah. Kronik.
Akhirnya sudah tidak kita sedari lagi.
KITA TELAH 'BUTA' RUPANYA.

Ahhh..
Buat apa membazir masa memikirkan perkara2 sebegini..
Hidup kita masing-masing. NAsiblah. NAk buat mcm mana..
Tak perlu sibuk dengan hal orang lain. Buat hal sendiri sudahlah.
Sebentar! Berhenti!
Ini bukan kalian kan??
Aku yakin dan percaya.Bukan kalian. Syukran.

Benarlah..Wahai TUHAN..
Tanpa dunia selepas kehidupan ini, bermakna ia adalah penindasan.
Dan ENGKAU adalah AR RAHIM, AR RAHMAN.
Sembah sujud, puja kami,insan hanya untukMU.

~ ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH, ALHAMDULILLAH ~

Hujan Sebelum Senja


Hujan Sebelum Senja
oleh : SADIS



Bunyi jarum-jarum hujan memanah bumi

seperti orang ramai bertepuk tangan, gembira
akan persembahan alam terindah, menghargai
titis-titis air dari daun ke tanah
mengalir dari bukit ke lembah
perlahan hilang dari pandangan

Hujan berhenti sebelum mentari sempat mencium bumi
jalur-jalur cahaya membelah awan hitam
menjadikannya merah dan megah
menghias dada langit yang kian kelam

Bau tanah yang masih basah, segar
menghidupkan rumput-rumput hijau
serangga keluar dari teduhan, terbang
menjemput bintang-bintang

Malam tiba setelah cahaya hilang
bumi seakan menangis mengharapkan
mentari kembali pulang

Senja selepas hujan, menjadikan hari
terlalu mengharukan.


‎Janjimu di kala senja

Janjimu di kala senja
oleh : Afza Najwa




Sahabat,
Masihkah kau ingat?
Dalam diam, kau termangu,
Sinar jingga dibatas langit memaku pandangmu,
Tika kau berjanji padaku,
Walau apa jua berlaku,
Kita akan tetap bersahabat,
Dan mentari senja terbenam bersama janjimu.

Jangan salahkan awan yang menggelayut dalam angan,
Usah pula memaki mentari sekadar fantasi dan ilusi,
Usah lagi menerka semerta,
Menyimpulkan aksara dari satu sisi saja,
Kerna aksara dan kata semata,
Sekadar luahan tanpa makna,
Bila waktu berpaling memeluk diri,
Mentari kan tetap berseri di keindahan pagi.

Sahabat,
Terimalah daku seadanya,
Jangan kerna sifatku yang ceria,
Kerana aku hanya insan biasa,
Yang mustahil akan sempurna,
Sering ada silap di mana-mana,
Maafkanlah daku saat kau terluka,
Sementara aku masih ada.

Kekasih Senja


KEKASIH SENJA
oleh : Haikal Fansuri



Senja itu datang lagi,
dan seperti hari-hari sebelumnya,
aku merenung matahari, 
yang makin pudar teriknya,
sambil terus teringatkan kamu

Jingga senja jadi saksi,
semilir bayunya seakan memerhati,
saat kau tega leraikan cinta,
setelah bertahun kita menyulamnya 

Sebutlah apa pun yang kau mahu,
akan ku tunaikan semampuku,
namun maafkan duhai kasihku,
Tidak adalah jawapku, 
untuk hajatmu yang satu itu

Maafkan aku kasih,
aku bukan lelaki itu lagi, 
walau kau terus meminta, untuk
melakukannya demi cinta,
tetap saja jawapku sama, kerana
yang lebih ku gerunkan, 
adalah murka Pemilik Semesta

dan iblis seperti menangis mendengar jawapku.

Senja itu jadi saksi,
terduduk aku menangisi, makna 
cinta yang kian lara, dan
harga diri yang makin luka 

maruah luka, dan agamalah sahaja penyembuhnya.


Pesanan Di Medan Penulisan



Pesanan Di Medan Penulisan
 oleh :Mujahidah Hafizah.




bila hati ingin menulis,


maka tulislah dari dalam lubuk sanubari,
penuh keikhlasan,
penuh berseni,...
kerana sntuhan hati lebih 'padat' untuk hati dengari,




tetapi....
tapi kalau kata ingin mengungkapkan,
biarkan ia terus dilepaskan,
tapi harus engkau kerap me'lihat'
agar hatimu terpelihara,tidak berubah berkelakuan 'jahat'




duhai penulis...
menulislah,
selagi idea seni islammu sedang marak bercambah,
mana tahu Allah jadikan ia sebuah wasilah,
hanya Allah yg mampu mengubah,
m'buat manusia 'durjana' tersentuh beralih arah,
kepada Allah dan semata-mata Allah -tempat menyerah."




aku akui..menulis bukan sesutatu yg mudah,
tetapi,aku seru..dengan menulislah Allah telah bersumpah,(surah Qalam)
supaya dapat memberi peringatan buat insan yg hidup gundah,




penulis,ketahuilah..
islam mementingkan hal-hal yg benar dalam kita menggunakan pena,
agar yg tidur boleh bangkit dari lena dan leka,
agar yg ter'fitnah' dapat julang kembali kebenarannya,
oleh itu sedarilah wahai penulis yg dipinjamkan Allah idea sekerat cuma,
memahami bahawa demikian rupa pentingnya pena dan pengaruhnya,




akan tetapi...
bukan mudah-mudah penulis berpena,
melainkan di jiwa ada kalimah tauhid diangkat bersama,
baharulah tampil ber'misi' & ber'visi' jiwa mereka,
menyeru(berdakwah) tidak kira manusia.




Allah~~
isikan jiwa2 kami dengan kepaduan yg mantap dengan kalimatmu,
agar seluruh isi dapat merasai kemanisan diri-Mu,
yg hanya ingin (bercita2) bertemu dengan diri-Mu,
ditempat yg pasti manusia bertemu..



Tentang Puisi (1)

Puisi.

Saya mencadangkan ini menjadi satu siri tulisan, untuk mencatatkan 'apa-apa tentang puisi'.
Tulisan ini bukan tersusun benar-benar terbentuk, tiada hujung pangkal, cuma harapnya sepanjang perjalanan kita bersama dapat belajar sesuatu (tentang puisi terutamanya).


Sedari awal menulis, saya masih tertanya-tanya apa sebenarnya puisi. Sehingga kini masih belum menemukan jawapan. Bagaimana sebuah bentuk tulisan, dengan rangkap-rangkapnya dinamakan puisi? adakah terletak pada pembaca, atau penulis? Bagaimana kita setuju sebuah tulisan itulah puisi.

Adakah kerana setelah membacanya, ada rasa yang bergejolak di dada? Jika demikian apa sebenarnya yang memberikan puisi itu 'nyawa' hingga ia seolah-olah hidup dan menggugah kita?

Bagi saya, antara yang paling hampir yang dimaksudkan dengan puisi ialah, sebaris tulisan Robert Frost,
"Poetry is what gets lost in translation."

Syed Naquib Al-Attas dalam Risalah Buat Kaum Muslimin ada membincangkan perbezaan puisi dan prosa. Antara yang disebutkan ialah, sebuah puisi merangkumi lafaz dan maknanya. Makna dalam sesebuah puisi tidak boleh dipisahkan dengan lafaznya, sedangkan prosa, boleh.

Seterusnya, saya ingin memetik tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam Setitis Embun Semarak Api, berkenaan seni puisi.

"Pak Za'ba menyatakan bahawa puisi khas untuk melafazkan pemikiran yang bermakna dan signifikan dengan bahasa yang indah dan melukiskan pemikiran signifikan itu penuh kemanisan dan kecantikan gaya bahasa. Maka dengan gaya bahasa yang cantik itu, perkara yang hendak diperkatakan itu akan bertambah menarik kepada hai orang yang membaca dan mendengar."

" Puisi adalah pengucapan tentang perasaan yang ghairah, yang imaginatif, biasanya berirama untuk melahirkan curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang.

Puisi adalah susunan perkataan yang terbaik untuk menghidangkan sesuatu yang signifikan. Puisi adalah cabang seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan-kenyataan yang dirakamkan oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal dan yang disusun oleh imaginasi. Puisi adalah pemikiran yang muzikal sifatnya.

Puisi adalah kesimpulan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa yang emosional dan berirama. Puisi adalah rakaman detik-detik yang paling indah dalam hidup kita. "

" Puisi adalah untuk kita merasai sesuatu sedangkan prosa lebih kepada untuk kita memahami sesuatu. "

Saya baca rangkap-rangkap di atas ini berulang-ulang kali. Setiap kalinya seolah memberi pengertian yang berbeza. Saya juga terfikir, mungkin kita tidak perlu mencari-cari makna puisi, ia akan datang sendiri setelah kita menulis menulis dan menulis. Pengalaman. Kerna bukankah kita memberi makna hidup kita sendiri berdasar pengalaman? Cuma mungkin juga lebih bijak jika sepanjang perjalanan, kita mengambil peduli untuk meneliti obor dan jejak-jejak penulis terdahulu.

Akhir sekali, saya ingin berkongsi satu puisi pendek, ditulis dan dideklamasikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said. Satu puisi yang amat indah. Mengungkapkan tentang hidup. Tentang dugaan dan nikmat. Tentang sabar dan syukur. Hikmah.




Selamat menulis!


-Haniff Zikri-