About

Monday, December 26, 2011

Preview : Bengkel Penulisan Puisi

25 Disember 2011

Kelab Penulisan Irbid buat telah berjaya melangsungkan bengkel penulisan puisi. Doktor Ainul Arina Mardiah Mohamad Noor telah dijemput untuk menyampaikan ceramahnya. Terima kasih diucapkan kepada beliau.

Profile Penceramah.



Berikut merupakan isi-isi penting sepanjang bengkel dijalankan.

1. Falsafah dan Pemikiran Puisi

Puisi mampu menjentik rasa keindahan yang tersimpan dalam hati setiap insan. Oleh sebab itu, puisi sering menjadi satu agen penyebar idea dan agenda.

Puisi juga telah lama digunakan sebagai satu bahan dakwah yang berkesan, juga sebagai inspirasi membakar semangat perjuangan sejak berkurun lagi. Disamping, puisi menjadi bukti rasa kecintaan kepada sesuatu yang akhirnya membawa kembali kepada cintakan Ilahi.

2. Maksud Puisi/Sajak

i." Sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya" (Muhammad Haji Salleh)

ii. " Sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua." (Baha Zain)

iii. "Kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik" (Samuel Taylor Coleridge)

3. Pembinaan Puisi

a. Asas bahasa

Puisi terbahagi kepada dua jenis; denotatif dan konotatif. Denotatif ialah puisi yang jelas, terus dan tidak mempunyai maksud yang lebih mendalam, berbeza dengan konotatif yang membawa maksud yang lebih dalam dan harus diteliti dengan baik.

Puisi kaya dengan gaya bahasanya, antara yang selalu diguna-pakai untuk menghasilkan puisi yang baik ialah;

- rima
- inversi
- metafora dan simile
- anafora, epifora, repitisi
- personifikasi
- hiperbola
- unsur bunyi; asonansi dan aliterasi

b. Tema dan persoalan

Penulis puisi yang baik haruslah membawa tema dan persoalan yang berkualiti, meluas dan membina. Tema dan persoalan yang baik boleh diraih dengan pemerhatian yang teliti dan pengkajian terhadap sesuatu perkara, bahan bacaan, masyarakat, kehidupan mahupun alam.

c. Bentuk puisi

Bentuk puisi meliputi beberapa aspek utama :

i. Binaan luar - puisi yang baik haruslah ekonomis dan ambiguitis

ii. Sudut pandangan - puisi mempunyai pelbagai sudut pandangan seperti orang pertama, orang kedua, orang ketiga dan sudut pendangan serba tahu.

iii. Nada - Pelbagai nada digunakan bagi menghidupkan puisi antaranya romantis, melankolis, sinis, protes, dan patriotik.

4. Red flag. 

Perkara-perkara yang perlu dielakkan sepanjang penulisan puisi ialah :

1. Klise


Mengunakan ayat-ayat yang sudah biasa, senang dan membosankan. Ayat yang tidak asli.

'Angin yang sepoi-sepoi bahasa terasa dingin menampar-nampar pipiku' - Contoh ayat klise.

Harus diletakan lebih 'effort' untuk menghasilkan ayat yang lebih menarik. Ini contoh ayat yang saya buat, dan diterima penceramah.

'Angin mencium lembut bagai sutera menyelimut'

Cuba bayangkan angin selain daripada menjadi 'angin'. Bayangkan angin mempunyai kaki, tangan atau mulut. Maka penggunaan diksi akan lebih segar dan menarik.

'Bertiup kini angin mesra dan bersih meluhuri takhta dan panji bangsa merdeka' (Menyemai Hikmah, SN A. Samad Said)

'awan curiga yang ditiup angin sangsi dari langit utara menggugurkan hanyir darah di laman pondok' (Perawan Selatan, Shahrunizam Abd Talib)

2. Lewah

Menghasilkan ayat yang panjang dan meleret-leret. Puisi yang baik ialah yang ekonomis dan ambiguitis. Kurangkan kata imbuhan yang tidak perlu dan kata ganda yang tidak perlu.

'Aku mencari dirinya' boleh diperbaiki menjadi 'kucari dia'. 

3. Tanda baca dan tatabahasa

Penulis harus mengambil berat penggunaan tanda baca dan tatabahasa dalam penulisan puisi. Tanda baca yang salah dapat menghilangkan nada bacaan dan maksud yang ingin disampaikan.

Perhatikan perbezaan ayat-ayat di bawah :

i. Women without her man is nothing.

ii. Women without her man, is nothing.

iii. Women, without her, man is nothing.

Mitos : setiap baris perlu diakhiri dengan koma dan nokhtah hanya boleh diletakkan di hujung rangkap.

Sebenarnya di dalam penulisan puisi, koma tidak semestinya di setiap baris dan nokhtah tidak semestinya di hujung rangkap. Sebagai contoh boleh dilihat di dalam puisi Al Wahn nukilan Fahd Razy.

(Perhatikan tanda koma)
Rindu- tidak perlu kudakapi,
  pergilah bersama bahtera noda,
  kenangan silam semanis hempedu,
  bak gumpalan awan hitam
  menutup mentari cinta tenggelam.

(Perhatikan tanda nokhtah)
Yang mengapung adalah buih yang melata
raput tanpa cinta satu umat
dan tekad seribu jasad. Kini perjalanan sejarah
yang jauh meninggalkan madrasah
nabawiyah...

4. Citra bercampur.

Menggunakan imej-imej yang tidak sekufu dan memeningkan pembaca.

Hidupku adalah perahu usang di lautan
Sesekali singa dugaan menerpa
Onak dan ranjau juga menyapa
Dan aku kehausan di gurun perjalanan
Mencari setitik air yang tak
berkunjungan. 

Boleh dibaiki menjadi

Hidupku adalah perahu usang di lautan
Sesekali ombak dugaan menerpa
Ribut dan badai juga menyapa
Dan aku kehausan di samudera
pelayaran
Mencari setitik air yang tak berkunjungan.


5. Ayat Bombastik

Mengunakan kata-kata yang indah dan luarbiasa bagi 'membungakan' ayat tanpa membawa maksud yang jelas dan bernas. 

Contoh ayat : "Dalam hal ini, beliau memfasiqkan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan walakin mendapat tentangan daripada pihak pembangkang namun baginya ia katarsis."

6. Perlambangan mengarut.

Mengunakan lambang-lambang yang tidak sesuai dan tidak dapat diterima. 

Contoh : 'Senja...aku bangkit menjadi hamba yang bersemangat!'

Sebenarnya tidak ada yang dapat dilihat membawa semangat dengan kata senja. 

Contoh lain : 'Ia datang bagai harimau menggoncang' , 'Ikan-ikan berterbangan gembira sendiri'. 

7. Prosa vs Puisi

Menulis puisi haruslah diiringi dengan maksud yang dalam, tidak prosaik (straight-forwad) dan tidak personal.

Contoh 'puisi' prosaik;

Terbit matahari pagi tadi
Aku buka almari
aku terlihat pada baju kurung putih
Putih sekali
Yang punya manik-manik kecil

Selalunya puisi-puisi prosaik, andai disusun semula bakal menjadi sebuah cerita yang 'plain'.

"Terbit matahari pagi tadi aku buka almari. Kemudian, aku terlihat pada baju kurung putih, putih sekali yang punya manik-manik kecil."

8. Pengulangan yang lemah

Pengulangan yang lemah di dalam puisi sebenarnya menunjukkan ketidakcintaan penulis terhadap puisinya. Menunjukkan penulis malas berfikir dan membuat puisi dengan sambil lewa.

Contoh pengulangan yang lemah :

Pagi ini aku merindui
kampungku yang cantik
kampungku yang indah
kampungku yang permai

Pengulangan yang baik pula, menguatkan lagi sebuah puisi itu. Sebagai contoh di dalam puisi 'Seketika Aku Membaca Bahasa Kebesaran-Mu' oleh Fadh Razy;

Seketika aku menjentik maujud gunung-Mu;
   yang bergetar itulah kerdil insaniku.

Seketika aku menghembus gelojak mentari-Mu;
   yang terpadam itulah ketakburan batiniku.

Seketika aku menghambat keliaran angin-Mu;
   yang rebah itulah gelojoh peribadiku.

Seketika aku membakar pesona bulan-Mu;
   yang garing itulah ghairah duniawiku.

Seketika aku meneroka tegar belantara-Mu;
   yang terkoyak itulah nafsu manusiawiku.

(ila akhir...)

Begitulah 'red flag' yang harus dihindari para penulis puisi. 

Antara nasihat penceramah, "Puisi bukanlah kerja lima minit. Tulis dan simpan, perap dahulu, dan baiki dari masa ke masa."

Wallahualam. Semoga bermanfaat. 








2 comments:

syabaslah dan terima kasih kepada Kak Arina kerana sanggup berkongsi ilmu dengan kita Orang

oic, kena perap puisi erk. but serious slps g bengkel ni baru tau rupanya puisi bukan sekadar kata2, ia dibina dengan teknik ttntu rupanya..
haish pujangga . syukran ^_^!

Post a Comment