About

Monday, December 5, 2011

Tentang Puisi (1)

Puisi.

Saya mencadangkan ini menjadi satu siri tulisan, untuk mencatatkan 'apa-apa tentang puisi'.
Tulisan ini bukan tersusun benar-benar terbentuk, tiada hujung pangkal, cuma harapnya sepanjang perjalanan kita bersama dapat belajar sesuatu (tentang puisi terutamanya).


Sedari awal menulis, saya masih tertanya-tanya apa sebenarnya puisi. Sehingga kini masih belum menemukan jawapan. Bagaimana sebuah bentuk tulisan, dengan rangkap-rangkapnya dinamakan puisi? adakah terletak pada pembaca, atau penulis? Bagaimana kita setuju sebuah tulisan itulah puisi.

Adakah kerana setelah membacanya, ada rasa yang bergejolak di dada? Jika demikian apa sebenarnya yang memberikan puisi itu 'nyawa' hingga ia seolah-olah hidup dan menggugah kita?

Bagi saya, antara yang paling hampir yang dimaksudkan dengan puisi ialah, sebaris tulisan Robert Frost,
"Poetry is what gets lost in translation."

Syed Naquib Al-Attas dalam Risalah Buat Kaum Muslimin ada membincangkan perbezaan puisi dan prosa. Antara yang disebutkan ialah, sebuah puisi merangkumi lafaz dan maknanya. Makna dalam sesebuah puisi tidak boleh dipisahkan dengan lafaznya, sedangkan prosa, boleh.

Seterusnya, saya ingin memetik tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam Setitis Embun Semarak Api, berkenaan seni puisi.

"Pak Za'ba menyatakan bahawa puisi khas untuk melafazkan pemikiran yang bermakna dan signifikan dengan bahasa yang indah dan melukiskan pemikiran signifikan itu penuh kemanisan dan kecantikan gaya bahasa. Maka dengan gaya bahasa yang cantik itu, perkara yang hendak diperkatakan itu akan bertambah menarik kepada hai orang yang membaca dan mendengar."

" Puisi adalah pengucapan tentang perasaan yang ghairah, yang imaginatif, biasanya berirama untuk melahirkan curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang.

Puisi adalah susunan perkataan yang terbaik untuk menghidangkan sesuatu yang signifikan. Puisi adalah cabang seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan-kenyataan yang dirakamkan oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal dan yang disusun oleh imaginasi. Puisi adalah pemikiran yang muzikal sifatnya.

Puisi adalah kesimpulan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa yang emosional dan berirama. Puisi adalah rakaman detik-detik yang paling indah dalam hidup kita. "

" Puisi adalah untuk kita merasai sesuatu sedangkan prosa lebih kepada untuk kita memahami sesuatu. "

Saya baca rangkap-rangkap di atas ini berulang-ulang kali. Setiap kalinya seolah memberi pengertian yang berbeza. Saya juga terfikir, mungkin kita tidak perlu mencari-cari makna puisi, ia akan datang sendiri setelah kita menulis menulis dan menulis. Pengalaman. Kerna bukankah kita memberi makna hidup kita sendiri berdasar pengalaman? Cuma mungkin juga lebih bijak jika sepanjang perjalanan, kita mengambil peduli untuk meneliti obor dan jejak-jejak penulis terdahulu.

Akhir sekali, saya ingin berkongsi satu puisi pendek, ditulis dan dideklamasikan oleh Sasterawan Negara A Samad Said. Satu puisi yang amat indah. Mengungkapkan tentang hidup. Tentang dugaan dan nikmat. Tentang sabar dan syukur. Hikmah.




Selamat menulis!


-Haniff Zikri-


1 comments:

sampai sekarang saya belum tahu bagaimana caranya untuk menulis puisi dgn baik.
mungkin saja itu bukan puisi, sebaliknya cuma luahan rasa.
bila banding dengan penulis lain, puisi diorang semua indah-indah belaka, barisnya pendek je, but still sampai maksud tu bila kita baca. yang kita tulis pulak, dah macam cerita pun ada. berjela. camne entah nak suntik rasa dalam tulisan kita.

anyway, entri nie bagus sekali. terima kasih.

Post a Comment